fb fb fb fb fb

Jualan beras import pada harga Rahmah bermula hari ini di seluruh negara

(FOTO BERNAMA)

BENTONG, 22 September - Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) akan mula mengadakan jualan beras import pada harga Rahmah di setiap program Jualan Rahmah di seluruh negara bermula hari ini.

Pengguna boleh mendapatkannya pada harga tidak melebihi RM15 untuk beras import lima kilogram (kg) dan kampit 10 kg pada harga di bawah RM30.

Pemangku Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd Ali berkata ia sebagai satu langkah mitigasi bagi menangani gangguan sementara bekalan beras tempatan dan kenaikan harga beras import.

(Datuk Armizan Mohd Ali / FOTO BERNAMA)

"Harga beras import yang ditawarkan itu lebih murah daripada apa dijual di pasaran, iaitu biasanya pada harga RM35 hingga RM40 dan lebih, bagi sektor peruncitan," katanya.

Armizan berkata demikian pada sidang media selepas melakukan tinjauan di Program Jualan Rahmah, di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Pelangai di Dataran Simpang Pelangai, di sini.

Tambah Armizan, keputusan mengadakan jualan beras import pada harga Rahmah di Jualan Rahmah diambil bagi mengelakkan program itu yang diadakan di seluruh kawasan DUN di seluruh negara, mengganggu bekalan beras tempatan di pasaran.

"Melalui program Jualan Rahmah akan melaksanakan pendekatan mitigasi iaitu akan tambah bekalan beras, kita akan guna beras import, alasan kita tidak mahu ganggu bekalan beras tempatan di pasaran, sektor runcit," katanya.

Media Baharu