(Fadhlina merasmikan Program Sahsiah Terbilang Hentikan Buli
Membentuk Anak Yang Baik Lagi Cerdik di Bukit Mertajam, hari ini)
BUKIT MERTAJAM, 22 September- Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) telah melancarkan dua garis panduan penting dalam pengurusan isu salah laku khususnya berkaitan buli dan gangguan seksual bagi mewujudkan ekosistem yang selamat di institusi pendidikan.
Menterinya, Fadhlina Sidek berkata kedua-dua garis panduan ini sangat penting untuk meneruskan sesi advokasi di semua peringkat dalam memastikan bahawa kesedaran, tanggungjawab dan sikap cakna tentang isu-isu berkaitan dapat ditanggani secara bersama.
Tambahnya, jawatankuasa yang merangka kedua-dua garis panduan in turut mengambil kira perubahan terkini termasuk mendefinisikan semula maksud buli siber, selain cadangan program intervensi dalam pengurusan salah laku buli dan gangguan seksual.
"Kita berharap seluruh warga KPM memberi komitmen dalam pelaksanaan garis panduan ini bagi memastikan isu ini dapat diselesaikan dengan segera.
"Penumpuan garis pelancaran ini adalah untuk memelihara 'human dignity' atau maruah manusia serta mengelakkan penindasan terhadap maruah ini daripada berlaku dalam ekosistem sekolah kita," katanya dalam sidang media selepas merasmikan Program Sahsiah Terbilang Hentikan Buli Membentuk Anak Yang Baik Lagi Cerdik di sini, hari ini.
(Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek)
Fadhlina juga berharap semua pihak termasuk anggota masyarakat, pihak sekolah, PIBG perlu memainkan peranan penting dalam memastikan kawasan sekolah selamat dari anasir buli dan gangguan seksual.
"Kita tak boleh buat garis panduan ini tanpa komitmen daripada komuniti juga ibu bapa, PIBG dan maknanya kita buka ruang untuk ahli komuniti membina ekosistem yang lebih selamat untuk sekolah dan anak-anak,"katanya.
Kaedah ini akan diperkenalkan di semua institusi pendidikan di bawah KPM termasuk Kolej Matrikulasi, Kolej Tingkatan Enam dan Institut Pendidikan Guru (IPG) di seluruh negara.
Pelaksanaannya merangkumi pelbagai komponen akan diperincikan melalui surat pekeliling yang akan dikeluarkan KPM ke semua institusi pendidikan.