fb fb fb fb fb

NADMA tumpu 89 daerah 'hotspot' banjir di seluruh negara menjelang MTL

(FOTO HIASAN)

PUTRAJAYA, 22 September - Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) akan memberi tumpuan kepada 89 daerah 'hotspot' banjir di seluruh negara menjelang peralihan Monsun Timur Laut bermula November ini.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah, Sarawak dan Tugas-Tugas Khas), Datuk Armizan Mohd Ali berkata daripada jumlah itu 77 daerah merupakan kawasan banjir berulang lebih daripada sekali dalam tempoh monsun.

Kebanyakannya membabitkan Kelantan, Terengganu, Pahang dan Johor.

(Datuk Armizan Mohd Ali / FOTO BERNAMA)

"Saya telah arahkan NADMA untuk melihat kepada 89 daerah ini untuk dipastikan kesiapsiagaan Jawatankuasa Pengurusan Bencana diperingkat daerah dari segi koordinasinya, komunikasinya termasuklah kebersamaan Badan Bukan Kerajaan (NGO) yang ada di negeri dan daerah," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Majlis Penutup Program Latihan Simulasi Bencana Rakan NADMA, di sini.

Dalam perkembangan sama, Datuk Armizan turut mengarahkan Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah mempergiatkan persiapan serta mekanisme bagi menghadapi risiko banjir.

Agensi itu diarah melaksanakan mesyuarat segera membabitkan Ahli Parlimen dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) setempat sama ada wakil rakyat kerajaan atau pembangkang.

"Masih ada lagi ahli-ahli Parlimen membangkitkan bahawa mereka masih lagi belum menerima undangan. Mereka khuatir sebab hujung tahun ini bermula bencana banjir. Jadi fokus ini perlu diutamakan," katanya.

Media Baharu