fb fb fb fb fb

Amaran

PenggunaJ: :_load: Tidak dapat memuatkan pengguna dengan ID: 381

12 kes malaria import direkodkan di Jelebu

(FOTO HIASAN)

JELEBU, 22 September- Sebanyak 12 kes malaria import direkodkan di daerah Jelebu melibatkan perkampungan Orang Asli bermula Julai lalu sehingga hari ini.

Bagaimanapun, menurut Ahli Parlimen Jelebu, Datuk Seri Jalaludin Alias , situasi dalam keadaan terkawal dan kaedah kawalan vektor yang berkesan dilaksanakan bagi membendung penularan jangkitan.

"Di Jelebu kita ada 12 kes mengikut laporan Jabatan Kesihatan masih terkawal dan saya harap supaya pegawai perubatan dan kesihatan kita terus melakukan kempen demi kempen kepada seluruh perkampungan masyarakat orang Asli dan kampung-kampung tradisional supaya ianya tidak bertambah dari semasa ke semasa," katanya ketika berkesempatan ke Kampung Orang Asli Putra, Jelebu.

(Ahli Parlimen Jelebu, Datuk Seri Jalaludin Alias)

Kehadiran beliau bagi mengucapkan salam penghargaan atas kehadiran delegasi Integrated Vektor (IVM) Peringkat Antarabangsa ke kampung tersebut.

Jalaludin berkata pemilihan Kampung Orang Asli Putra, sebagai lokasi lawatan kajian berikutan perkampungan itu merupakan penanda aras bagi lokaliti pedalaman lain mengawal penyakit bawaan vektor.

Kursus berkenaan disertai seramai 24 peserta terdiri daripada Ahli Kaji Serangga, Pegawai Kesihatan Persekitaran dan Pegawai Perubatan dari negara luar seperti Vietnam, Filipina dan Laos.
 
Ujar Jalaludin lagi Pusat Khidmat Rakyat Parlimen Jelebu akan terus memberi kerjasama baik kepada Jabatan Kesihatan Negeri dan Pejabat Kesihatan untuk memberi kesedaran kepada masyarakat agar sentiasa membudayakan gaya hidup sihat.

“Saya sebut mengenai kepentingan masyarakat kita diberi mesej jelas berkaitan penjagaan kesihatan dan kawalan vektor di kawasan kependudukan.

“Impian saya supaya Parlimen Jelebu ini bebas daripada penyakit berbahaya dan berisiko tinggi,” katanya.