fb fb fb fb fb

Op Pedo : Individu ditahan beri alasan tidak tahu kesalahan

Datuk Seri Ayob Khan Mydin Pitchay/ BERNAMA

ULU KINTA, 29 Disember- Kebanyakan individu yang ditahan menerusi Op Pedo menggunakan alasan tidak mengetahui perbuatan memiliki bahan lucah terutama berkaitan kanak-kanak merupakan satu kesalahan.

Timbalan Ketua Polis Negara Datuk Seri Ayob Khan Mydin Pitchay berkata alasan berkenaan dijadikan alasan meskipun pelbagai kenyataan telah dikeluarkan sebelum ini.

"Saya yakin terdapat suspek yang terlibat kerana sasaran asal ialah 18 individu, yang dapat diberkas ketika ini hanya 13 orang.

"Kebanyakan tangkapan memberi alasan tidak mengetahui bahawa memiliki bahan lucah atau bahan pedofilia merupakan satu kesalahan. Walaupun dilihat pelbagai kenyataan dikeluarkan sebelum ini memaklumkan perbuatan itu adalah satu kesalahan keganasan," katanya.

Beliau berkata demikian selepas menyempurnakan Majlis Perasmian Penutup Program Pemimpin Masa Depan Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) PDRM di Empangan Sultan Azlan Shah di sini.

Setakat ini tiada tangkapan baharu dibuat namun pihaknya akan terus mengesan saki baki suspek termasuk di negeri lain dengan kerjasama  Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (MCMC).

Pada 23 Disember lalu, 13 individu ditahan kerana disyaki melakukan kesalahan seksual secara dalam talian melibatkan bahan penganiayaan seksual terhadap kanak-kanak (CSAM).

Kesemua suspek berumur antara 20 hingga 74 tahun ditahan di enam negeri iaitu Selangor, Kuala Lumpur, Pulau Pinang, Perak, Johor dan Terengganu.

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI