(Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainudin bercakap pada sidang media selepasÂ
Majlis Apresiasi JKPS di Putrajaya)
PUTRAJAYA, 28 Jun - Op Patuh yang dilaksanakan bagi membanteras ketidakpatuhan SOP pencegahan COVID-19 di peringkat nasional secara bersepadu dan besar-besaran ditamatkan Sabtu lalu setelah setahun digerakkan.
Penamatan selari dengan situasi negara yang ketika ini berada pada fasa peralihan ke endemik.
Selaras itu, berkuat kuasa Khamis ini, kerajaan memutuskan untuk menamatkan pelantikan Pegawai Yang Diberikan Kuasa di bawah Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata Jawatankuasa Koordinasi Penguatkuasaan dan Pematuhan SOP Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) COVID-19 (JKPS) yang ditubuhkan untuk menggerakkan Op Patuh bagi menguatkuasakan PKP itu telah genap setahun pada 25 Jun lepas.
(Foto fail)
"Bagaimanapun, pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan terus bekerjasama dengan pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) bagi tujuan penguatkuasaan SOP dan protokol peralihan pandemik menggunakan perundangan yang ada di bawah Akta Polis 1997 dengan pendekatan yang diberikan lebih kepada advokasi kepada rakyat berkaitan fasa peralihan endemik ini," katanya dalam sidang media selepas Majlis Apresiasi JKPS di sini hari ini.
Sehingga 25 Jun lalu, lebih lima juta pemeriksaan Op Patuh dijalankan.
Daripada jumlah itu, lebih 13,000 kompaun dikeluarkan serta lebih 6,000premis diarahkan tutup.