fb fb fb fb fb

Op Paras: 724 kenderaan barangan dikesan bawa lebih muatan

Pengarah JPJ Selangor Azrin Borhan turut serta dalam Op Paras di di Lebuh Raya Lembah Klang Selatan (SKVE) , Kuala Langat hari ini / Foto Bernama

KUALA LANGAT, 29 Mei - Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Selangor mengesan sebanyak 724 kes kenderaan barangan membawa lebih muatan sepanjang pelaksanaan Op Paras bermula 1 Mei lalu.

Pengarahnya Azrin Borhan berkata 143 notis dan arahan menimbang kenderaan dikeluarkan terhadap kenderaan barangan menerusi operasi berkenaan.

"Menerusi operasi ini, kita (JPJ) dapati kenderaan yang sering dikesan membawa lebih muatan ialah lori yang mengangkut batu, pasir, tanah serta sisa kelapa sawit," katanya pada sidang media Ops Paras di Lebuh Raya Lembah Klang Selatan (SKVE) di sini hari ini.

Menurutnya lagi, mahu mengejar komisen atau keuntungan antara alasan diberikan pemandu untuk sanggup membawa muatan melebihi had dibenarkan.

Op Paras turut bertujuan membendung peningkatan kes kemalangan berpunca daripada kenderaan berat yang tidak mematuhi undang-undang dan piawaian keselamatan jalan raya, khususnya melibatkan kesalahan membawa muatan berlebihan.

Berhubung dakwaan pihak 'tonto' memantau pergerakan dan operasi JPJ dalam menangani isu kenderaan perdagangan khususnya membawa muatan berlebihan, beliau berkata pihaknya tidak menolak kewujudan elemen terbabit, namun setakat ini tiada ancaman kritikal diterima sama ada secara lisan atau bertulis.

Azrin berkata JPJ akan terus melaksanakan operasi berkala menggunakan pelbagai kaedah bagi mengelak dikesan tonto termasuk dengan berpakaian preman dan menggunakan kenderaan tidak berlogo untuk melakukan pemeriksaan terhadap kenderaan perdagangan.

NORZAINAH ZAINAL ABIDIN