JOHOR BAHRU, 29 Mei- Sebanyak 80 peratus tempahan bilik hotel di kawasan tumpuan pelancongan di Johor, dipenuhi bersempena cuti sekolah penggal pertama, yang bermula hari ini hingga 10 Jun.
Exco Perpaduan, Warisan dan Budaya Johor, K. Raven Kumar berkata, pencapaian itu mencerminkan prestasi baik sektor pelancongan negeri, yang kian mendapat perhatian dunia.
"Bukan hanya masa cuti sekolah yang banyak tetapi waktu hujung minggu kita juga dapat satu rekod yang bagus terutamanya sekitar Johor Bahru.
"Kalau kita tengok kawasan pelancongan yang lain seperti Mersing dan daerah lain, dah mula nampak rekod bertambah dari segi pelancong," katanya.
Beliau berkata demikian selepas merasmikan World Chef Championship 2025 di Pusat Konvensyen Antarabangsa PERSADA di Johor Bahru, Johor.
Dalam perkembangan berkaitan, beliau berkata kerja-kerja naik taraf beberapa lokasi pelancongan utama di negeri itu, dijangka siap sepenuhnya, hujung tahun ini.
Antaranya di Muzium Tokoh Johor, Taman Botani Diraja, dan Taman Negara Gunung Ledang, dengan peruntukan hampir RM100 juta yang disalurkan bersempena pemerkasaan Tahun Melawat Johor 2026.