fb fb fb fb fb

Kejayaan penganjuran Sidang Kemuncak ASEAN Ke-46, hasil komitmen semua pihak

Foto Pejabat Perdana Menteri

KUALA LUMPUR, 29 Mei- Kejayaan penganjuran Sidang Kemuncak ASEAN Ke-46 merupakan hasil komitmen luar biasa serta semangat kerjasama tinggi yang ditunjukkan semua pihak.

Ia melibatkan ribuan penjawat awam, pasukan keselamatan, sukarelawan, petugas hotel, peniaga, petugas kebersihan, pengamal media dan sektor swasta.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, penganjuran Sidang Kemuncak ASEAN ini bukan satu tugas yang mudah memandangkan ia melibatkan penyertaan 10 negara anggota dengan pelbagai keperluan, latar belakang serta protokol diplomatik yang berbeza.

"Saya melihat sendiri kesungguhan semua kementerian dan agensi yang berganding bahu menyambut ketibaan pimpinan luar, mengurus aspek protokol, logistik serta keselamatan.

Perdana Menteri berkata demikian menerusi satu hantaran video yang dimuat naik di platform media sosial rasminya.

Ia sebagai tanda penghormatan dan terima kasih kepada semua petugas yang terlibat secara langsung mahupun tidak langsung dalam memastikan kelancaran Sidang Kemuncak ASEAN Ke-46.

Menurut Datuk Seri Anwar, delegasi dari ASEAN, Majlis Kerjasama Teluk (GCC) dan China turut menyatakan rasa kagum terhadap mutu layanan, kebersihan, kecekapan serta tahap disiplin yang ditampilkan sepanjang sidang berlangsung.

Beliau turut menyifatkan kejayaan penganjuran Sidang Kemuncak ASEAN Ke-46 sebagai hasil kekuatan kerjasama berpasukan yang utuh dalam kalangan semua pihak yang terlibat.

"Saya percaya inilah rahsia kejayaan kita, semangat bekerja sebagai satu pasukan yang kukuh,” katanya.

Perdana Menteri berkata seluruh rakyat boleh berbangga dengan tahap komitmen dan semangat luar biasa yang telah ditunjukkan sepanjang penganjuran berlangsung.

"Alhamdulillah, kita berasa bangga dengan kekuatan serta semangat yang telah ditunjukkan. Terima kasih kepada semua," kata Datuk Seri Anwar sebagai penutup dalam video penghargaan yang dikongsikan di media sosial.

MOHAMAD KHAIRIE KHALID