KUALA LUMPUR, 29 Mei - Malaysia mencatatkan peningkatan mendadak ancaman siber didorong oleh kecerdasan buatan (AI).
Menurut firma keselamatan siber global Fortinet 54 peratus organisasi mengalami pertambahan insiden ancaman dua kali ganda, manakala 24 peratus melaporkan kenaikan tiga kali ganda tahun lepas.
Naib Presiden Pemasaran dan Komunikasi Fortinet bagi Asia, Australia dan New Zealand, Rashish Pandey menjelaskan 97 bilion cubaan eksploitasi dicatatkan bagi separuh pertama 2024 dan kehadiran AI melonjakkan trend sebanyak dua hingga tiga kali ganda.
''Sektor yang paling paling terdedah adalah sektor yang memberi nilai tinggi bagi penjenayah siber, sektor yang anda lihat sering diserang ialah perkhidmatan kewangan, serangan rantaian bekalan, penjagaan kesihatan juga terkesan dan paling jelas sekali sektor awam seperti infrastruktur dan utiliti,'' jelasnya selepas sesi taklimat media di sini, hari ini.
Tambahnya, hanya 19 peratus daripada organisasi terlibat amat yakin dengan kemampuan menangani serangan berteraskan AI.
27 peratus mengakui ancaman itu lebih pantas daripada kemampuan pengesanan dan 20 peratus lagi mengakui tidak dapat mengesannya sama sekali.
Ransomware kekal menjadi ancaman paling kerap dihadapi oleh majoriti atau 64 peratus responden Malaysia.
Tinjauan yang dijalankan pada Februari hingga April 2025, melibatkan 550 pemimpin IT dan keselamatan siber dari seluruh rantau Asia Pasifik bagi menilai tahap kesediaan organisasi menghadapi ancaman berasaskan AI.