KLANG, 29 Mei- Pelaburan sebanyak RM500 juta oleh Projek Supply Chain City Malaysia dijangka mengukuhkan kedudukan Malaysia sebagai hab logistik utama di rantau ASEAN.
Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz, berkata projek bernilai RM500 juta itu merupakan fasiliti berteknologi tinggi yang bukan sekadar pusat pengedaran, tetapi akan menjadi hab kemajuan teknologi, ketahanan rantaian bekalan, dan pertumbuhan ekonomi mampan.
“Projek ini selari dengan matlamat Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030 dan Rangkaian Logistik Pintar ASEAN, yang menyasarkan peningkatan daya saing dan kecekapan perdagangan,” katanya.
Tengku Datuk Seri Zafrul turut menekankan bahawa kerjasama serantau adalah penting dalam menghadapi gangguan rantaian bekalan global akibat ketegangan geopolitik.
Beliau menyifatkan Supply Chain City sebagai simbol kesiapsiagaan ASEAN dalam menangani cabaran global secara kolektif.
“Sebagai Pengerusi ASEAN 2025, Malaysia berhasrat memacu integrasi ekonomi melalui inisiatif seperti ASEAN Single Window dan ASEAN Digital Economy Framework Agreement,” jelas beliau.
Projek tersebut dijangka mewujudkan ribuan peluang pekerjaan mahir dan separa mahir serta memperkukuh ekosistem logistik negara melalui penyelesaian pintar dan inisiatif latihan tenaga kerja bersama Akademi Rantaian Bekalan dan Logistik Singapura (SCALA).
Selain itu, projek ini secara rasmi bermula hari ini dan dijangka siap dalam tempoh dua setengah tahun akan datang.
Beliau turut merasmikan majlis pecah tanah projek berkenaan di Bandar Bukit Raja, Klang petang tadi.