KUALA LUMPUR, 29 Mei – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menyita pelbagai aset bernilai kira-kira RM32 juta dipercayai milik seorang pemegang konsesi lebuh raya bergelar Tan Sri, susulan siasatan penyelewengan dana sukuk pembinaan lebuhraya di Lembah Klang.
Antara barangan disita termasuk jam tangan, tas tangan berjenama, barang kemas, kenderaan serta kediaman mewah.
Menurut sumber SPRM, sitaan tersebut adalah hasil penggeledahan oleh Bahagian Siasatan SPRM di dua kediaman milik individu berkenaan di ibu negara, hari ini.
Antara barangan yang disita termasuk 217 unit jam tangan mewah pelbagai jenama dianggarkan bernilai RM5 juta, 27 unit tas tangan berjenama melebihi RM1 juta serta barangan kemas bernilai lebih RM4 juta.
“Menerusi penggeledahan itu juga, SPRM turut menyita sembilan unit kenderaan mewah bernilai hampir RM7 juta,” katanya.
SPRM juga menemui sebuah setor simpanan minuman beralkohol mewah dianggarkan bernilai RM3 juta, dipercayai berkaitan aktiviti penggubahan wang haram.
Sumber turut memaklumkan sebuah unit kediaman mewah yang terletak di ibu negara, dianggarkan bernilai sekitar RM12 juta, turut disita kerana dipercayai mempunyai kaitan dengan siasatan yang sedang dijalankan.
SPRM kini sedang giat menjalankan siasatan lanjut bagi mengesan sebarang elemen penyelewengan serta aktiviti pengubahan wang haram yang berkait rapat dengan kes berkenaan.
"Kesemua aset dan barangan yang disita ini adalah bagi tujuan siasatan lanjut di bawah Akta SPRM 2009 serta Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan (AMLA) 2001," kata sumber tersebut.