fb fb fb fb fb

Banci pertanian dilaksanakan setiap 10 tahun - TPM Fadillah

Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air Datuk Seri Fadillah Yusof (tengah) menyempurnakan Majlis Peluncuran Laporan Interim Banci Pertanian 2024 di Malaysia Agro Exposition Park Serdang (MAEPS) / BERNAMA

SERDANG, 29 Mei- Banci pertanian akan dilaksanakan secara berkala setiap 10 tahun,bagi memastikan data asas sentiasa relevan dengan keperluan semasa dan cabaran masa hadapan, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof.

Berucap pada Majlis Peluncuran Laporan Interim Banci Pertanian 2024 di sini hari ini, Fadillah berkata survei pertanian jangka pendek juga akan dilaksanakan secara berkala mulai 2026 untuk memperkukuh ketersediaan data dan menyokong pemantauan berterusan sektor pertanian negara.

"Menerusi pelaksanaan Banci Pertanian 2024, negara kini memiliki data asas (baseline) sektor pertanian yang komprehensif dan terkini, yang kali terakhir dikumpul lebih dua dekad lalu.

"Ini merupakan asas penting kepada penggubalan dasar berasaskan bukti secara statistik sekali gus memperkukuh perancangan, pelaksanaan dan pemantauan sektor pertanian secara tepat, inklusif dan berkesan," katanya.

Banci Pertanian 2024 yang dijalankan Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) menyediakan data asas mengenai profil pegangan pertanian seperti maklumat demografi, hasil pertanian, kos input, saiz ladang, penggunaan dan pemilikan tanah, mekanisasi serta penggunaan teknologi.

Data berkenaan digunakan dalam merangka dasar dan program jangka pendek dan panjang selain untuk meningkatkan keterjaminan makanan, produktiviti serta mempromosikan pertanian mampan.

Menyentuh mengenai dapatan Banci Pertanian 2024, Fadillah yang juga Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air berkata seramai 458,395 orang atau 45.4 peratus daripada pengusaha pertanian berusia 60 tahun dan ke atas manakala 326,287 orang (32.3 peratus) berumur 46 hingga 59 tahun.

Sementara pengusaha pertanian berusia 15 hingga 45 tahun adalah seramai 224,147 orang atau 22.2 peratus, katanya.

"Jelas terdapat keperluan untuk meremajakan sektor pertanian dengan menarik penyertaan generasi muda dalam sektor ini.

"Tanpa tenaga kerja mahir dan berdaya saing dalam kalangan generasi muda, sasaran untuk memperkukuh keterjaminan makanan negara serta mengurangkan kebergantungan kepada import sukar dicapai," katanya.

Sehubungan itu, beliau menekankan langkah strategik seperti meningkatkan insentif, memperkenalkan teknologi moden dan memperbaiki persepsi terhadap kerjaya dalam sektor pertanian perlu digembleng secara menyeluruh bagi memastikan kelestarian dalam sektor pertanian.

Fadillah turut menyarankan agar semua pihak di peringkat pembuat dasar mahupun penyelidik supaya memanfaatkan statistik itu untuk merangka hala tuju dan intervensi bersesuaian dalam sektor pertanian khususnya bagi menangani isu keterjaminan makanan negara.

Pada majlis itu, turut dilancarkan papan pemuka atau Dashboard Harga Produk Pertanian (MyAgroPrice) yang merupakan satu lagi inisiatif penting untuk pendigitalan statistik pertanian negara.

Papan pemuka berkenaan memaparkan harga purata bagi 60 jenis produk pertanian terpilih meliputi tiga peringkat utama iaitu rantaian bekalan, ladang, borong dan runcit mengikut negeri bagi tempoh siri masa bulanan dari 2020 hingga 2024.

MyAgroPrice memberi nilai tambah kepada petani dengan menyediakan maklumat harga yang tepat dan boleh diakses sekali gus membantu mereka merancang strategi pemasaran dengan lebih baik serta mengurangkan jurang maklumat harga antara pemain industri.

Papan pemuka itu berperanan penting kepada pembuat dasar untuk memantau kestabilan harga, mengenal pasti trend pasaran dan merangka intervensi yang lebih bersasar demi kesejahteraan rakyat dan keterjaminan makanan negara.

Turut hadir Timbalan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Datuk Arthur Joseph Kurup dan Ketua Perangkawan Malaysia Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin. - BERNAMA

MOHAMAD KHAIRIE KHALID