KUALA LUMPUR, 29 Mei – Universiti Teknologi MARA (UiTM) menjalin kerjasama strategik dengan Radio Televisyen Malaysia (RTM) dalam usaha meneroka potensi dalam bidang penyiaran, komunikasi korporat dan pembangunan kandungan media.
Bagi memperkasa usaha tersebut, UiTM mengadakan lawatan kerja ke Angkasapuri Kota Media, yang diketuai Penolong Naib Canselor (Komunikasi Strategik), Profesor Dr Ismie Roha Mohamed Jais.
Kehadiran delegasi dari Pejabat Komunikasi Strategik itu disambut oleh Penyelaras Lawatan Bahagian Perhubungan Awam, Waqiuddin Afif Mat Saad bersama barisan pegawai kanan RTM.
Lawatan itu membuka ruang perbincangan dua hala yang menyentuh aspek penjenamaan, teknik penyampaian maklumat, serta peluang kolaborasi kandungan seperti dokumentari dan program bual bicara serta liputan acara-acara universiti menerusi saluran RTM.
Profesor Dr Ismie Roha berkata kerjasama ini penting untuk memperkukuh jenama UiTM di peringkat nasional serta membina jaringan profesional dalam industri media.
"RTM sebagai penyiar awam berpengalaman mempunyai peranan penting dalam usaha mengetengahkan pencapaian dan peranan UiTM kepada masyarakat secara menyeluruh," katanya.
Delegasi turut dibawa melawat studio penyiaran, bilik kawalan siaran dan kemudahan teknikal RTM bagi melihat lebih dekat operasi penyiaran secara langsung dan rakaman.
Ia sekali gus menjadikan lawatan ini langkah awal ke arah pelaksanaan program kolaboratif dalam masa terdekat.