KUALA LUMPUR, 29 Mei - Lebih 500 jemaah menyertai Majlis Bacaan Yasin dan Doa Selamat sempena Sambutan Ulang Tahun Hari Keputeraan Rasmi Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim di Masjid Muadz bin Jabal, Setiawangsa di sini, hari ini.
Majlis yang turut dihadiri Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof dan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul itu bermula kira-kira 5.30 petang.
Majlis dipimpin Imam Besar Masjid Negara, Ustaz Ehsan Mohd Hosni sebelum diteruskan dengan bacaan doa selamat.
Turut hadir, Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi, Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Dr Mohd Na'im Mokhtar, Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Ahmad Maslan dan beberapa kenamaan asing.
Majlis hari ini merupakan sebahagian daripada acara sempena Sambutan Ulang Tahun Hari Keputeraan Rasmi Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim.
Esok khutbah khas Jumaat bersempena dengan sambutan berkenaan akan diadakan di Masjid Negara.