fb fb fb fb fb

PKB saran inisiatif Baucar Buku Madani diteruskan, lahirkan pembaca baharu

Adibah Omar ditemui pemberita selepas membentangkan Dapatan Kajian Impak Program Pemberian Baucar Buku MADANI di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL), hari ini / Foto RTM

KUALA LUMPUR, 29 Mei – Inisiatif program Baucar Buku MADANI yang dilaksana tahun lalu diharap dapat diteruskan pada masa hadapan kerana terbukti mampu melahirkan generasi pembaca baharu.

Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Kota Buku Adibah Omar berkata, insentif tersebut mencerminkan komitmen kerajaan dalam memupuk budaya membaca selain menyediakan akses saksama kepada semua pelajar seluruh negara.

Demikian hasil dapatan Kajian Impak yang dijalankan Institut Darul Ehsan Research.

“Kajian mendapati bahawa 94.5 peratus responden bersetuju program ini berjaya memupuk minat membaca, manakala 97.5 peratus menyatakan baucar tersebut memberi manfaat kepada pelajar, khususnya dalam kalangan yang kurang berkemampuan,” katanya.

Tambah beliau, pelaksanaan penebusan baucar secara dalam talian turut membuka ruang kepada lebih ramai pelajar untuk memilih dan memiliki bahan bacaan sesuai dengan minat masing-masing.

“Dengan baucar buku yang disediakan, pelajar boleh mengakses laman BookCapital.com.my yang menawarkan lebih 800,000 judul buku daripada lebih 1,000 penjual dalam talian."

" Platform ini menjadi pemacu utama kepada usaha pendemokrasian akses kepada ilmu di seluruh negara,” jelasnya.

Selain itu, kerjasama strategik bersama syarikat kurier dan platform e-dagang membolehkan penghantaran buku kepada lebih 3.5 juta penerima, termasuk pelajar di kawasan pedalaman Sabah dan Sarawak.

“Rakyat dari segenap lapisan masyarakat, termasuk anak-anak di luar bandar, kini berpeluang memiliki bahan bacaan yang sama seperti rakan mereka di kota,” katanya.

Tambah Adibah, program ini turut memberi manfaat kepada pelajar kurang upaya melalui penyediaan bahan bacaan yang ditebus dan kemudian diubah kepada format braille.

Ini sekali gus membuktikan tiada siapa yang dipinggirkan dalam usaha merakyatkan ilmu.

Beliau berkata demikian selepas membentangkan Dapatan Kajian Impak Program Pemberian Baucar Buku MADANI di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL), hari ini.

Sebanyak RM290 juta telah diperuntukkan bagi pelaksanaan Program Baucar Buku (PBK) MADANI 2024 dengan kadar penebusan 100 peratus. 

NORZAINAH ZAINAL ABIDIN