fb fb fb fb fb

57 lokasi kerap berlaku kemalangan dikenal pasti di Kelantan

Pengarah JBPM Kelantan, Farhan Sufyan Borhan / BERNAMA

TUMPAT, 29 Mei- Sebanyak 57 lokasi kerap berlakunya kemalangan dikenal pasti di Kelantan, terutama menjelang sambutan Aidiladha tidak lama lagi.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kelantan, Farhan Sufyan Borhan berkata daripada jumlah tersebut, Gua Musang mencatatkan lokasi panas kemalangan tertinggi iaitu 15 kawasan.

Ini diikuti Kuala Krai dan Tok Bali di Pasir Puteh.

"Untuk negeri Kelantan ini, kita ada 57 kawasan yang mana 15 di Gua Musang, Kuala Krai (7), Bachok (5), Tok Bali, Pasir Puteh, Sungai Durian, Kuala Krai dan Kemahang.

"Ini lokasi-lokasi yang kita jangkakan boleh berlaku kemalangan jalan raya.

"Jadi, kami nasihat kepada warga Kelantan yang akan balik cuti sempena cuti sekolah dan raya haji ni agar lebih berhati-hati aspek keselamatan di jalan raya” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melancarkan Pasukan Bomba Komuniti Media Kelantan melibatkan sepuluh peserta pelbagai agensi media di negeri berkenaan.

Menurut beliau, pasukan yang pertama kali ditubuhkan di Kelantan bertujuan mendedahkan pengamal media berkaitan aspek keselamatan dan tindakan awal yang perlu dilakukan.

Ini sekiranya berlaku kemalangan atau kebakaran di kawasan mereka sebelum ketibaan pasukan penyelamat.

Antara latihan asas dipelajari pasukan tersebut ialah latihan asas penggunaan tali menyelamat, pertolongan cemas, mengharungi halangan dalam terowong gelap dan pengenalan pemakaian Breathing Apparatus (BA) set.

Dalam pada itu, Farhan Sufyan mengingatkan orang ramai agar menyelenggara peralatan elektrik yang melebihi tempoh 10 tahun untuk mengelak kebakaran akibat litar pintas, khususnya ketika musim panas ketika ini.

Menurut beliau, Kelantan merekodkan kebakaran yang agak tinggi iaitu 78 peratus tahun lalu disebabkan penggunaan peralatan elektrik yang tidak diselenggara dengan baik dan kegagalan sistem pendawaian.

MOHAMAD KHAIRIE KHALID