fb fb fb fb fb

Hasil ciptaan MARDI sedia kurangkan kebergantungan makanan import

Foto RTM

SERDANG, 29 Mei– Lebih 30 peratus teknologi pertanian yang dibangunkan Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI), telah digunakan dalam sektor pertanian negara.

Timbalan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Arthur Joseph Kurup berkata, antara kejayaan terbesar ialah 56 varieti padi yang dihasilkan MARDI, di mana lebih 90 peratus daripadanya kini digunakan oleh petani tempatan.

“MARDI juga berjaya menghasilkan varieti tanaman seperti nanas, kelapa dan bawang merah, termasuk Bawang Merah MARDI yang kini mendapat sambutan luar biasa di seluruh negara,” katanya bersempena pameran ShowTech MARDI 2025 di MAEPS.

Menurut beliau, teknologi MARDI dibangunkan berdasarkan iklim, tanah dan citarasa tempatan bagi memastikan hasil bukan sahaja berkualiti tinggi, malah memenuhi permintaan pengguna.

Tambahnya, pameran seperti ShowTech menjadi platform penting untuk merapatkan jurang antara penyelidik dan industri, selain meningkatkan kesedaran terhadap teknologi tempatan yang lebih sesuai berbanding teknologi luar negara.

Pelbagai teknologi dan produk yang dipamerkan turut ditawarkan kepada pemain industri untuk dikomersialkan melalui penjenamaan dan pemasaran sendiri.

MOHAMAD KHAIRIE KHALID