GUA MUSANG, 29 Mei - Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) Kelantan menyarankan penduduk di Kampung Pulai, Gua Musang mengambil langkah mitigasi bagi mengurangkan risiko konflik berulang dengan gajah liar yang berkeliaran di kampung mereka.
Pengarahnya Mohamad Hafid Rohani berkata, langkah tersebut termasuk memasang lampu LED biru di laluan masuk gajah liar, sentiasa membersihkan kebun agar tidak menjadi semak samun serta membina Sistem Pagar Elektrik Gajah (SPEG).
Tambah beliau, pemindahan gajah bukan penyelesaian jangka panjang.
Ini kerana lokasi kebun berhampiran dengan Hutan Simpan Kekal (HSK) Batu Papan dan HSK Ulu Galas yang menempatkan lebih 30 ekor gajah liar.
“Oleh itu, pekebun dinasihatkan mengambil langkah yang lebih efektif seperti membina parit gajah atau SPEG bagi mengurangkan gangguan konflik pada masa hadapan,” katanya.
Perhilitan Kelantan pada Rabu berjaya menangkap dua ekor gajah liar jantan yang dilapor berkeliaran dan memusnahkan tanaman penduduk di Kampung Pulai, di sini.
“Tangkapan ini sedikit sebanyak melegakan penduduk yang terjejas akibat kerosakan tanaman dan harta benda,” katanya dalam kenyataan pada Khamis.