fb fb fb fb fb

Denggi: 530 kes, 16 wabak direkodkan di Melaka dari 1 Jan - 24 Mei

SUNGAI UDANG, 29 Mei- 530 kes denggi dan 16 wabak direkodkan Melaka dalam tempoh 1 Januari hingga 24 Mei lepas.
 
Daerah Melaka Tengah mencatatkan kes denggi tertinggi dengan 347 kes ,diikuti Jasin 124 kes dan Alor Gajah 59 kes.

Ketua Menteri Datuk Seri Ab Rauf Yusoh berkata setakat ini tiga Dewan Undangan Negeri (DUN) dikesan mempunyai wabak denggi aktif iaitu Durian Tunggal, Ayer Molek dan Bemban.
 
Beliau sehubungan itu menggesa semua pihak bertanggungjawab menjaga kebersihan bagi mengelakkan peningkatan kadar pembiakan nyamuk Aedes.
 
Katanya semua pihak diseru mempergiat program gotong-royong secara berfasa di kawasan masing-masing pada setiap bulan.

“Setiap langkah pembersihan termasuk menerusi program gotong-royong amat penting dalam memutuskan rantaian pembiakan nyamuk Aedes,” katanya selepas merasmikan Program Gotong-Royong Mega Perangi Aedes Peringkat Negeri Melaka, di Rumah Kuaters Angkatan Tentera Desa Tun Razak di Sungai Udang di sini hari ini.

Sementara itu kira-kira 1,000 penduduk berganding bahu pada program gotong-royong berkenaan.

 


 

NORZAINAH ZAINAL ABIDIN