SHAH ALAM, 29 Mei - Situasi demam denggi di Selangor menunjukkan trend penurunan dengan 519 kes, setakat Minggu Epidemiologi 21, tahun ini (ME 21/2025) yang berakhir pada 24 Mei lepas.
Exco Kesihatan Awam dan Alam Sekitar negeri Jamaliah dalam kenyataan berkata, ia susulan langkah kawalan yang dilaksanakan secara bersepadu pelbagai pihak.
Bilangan kes itu dikesan berkurangan sebanyak 8.3 peratus atau 566 kes pada minggu sebelumnya iaitu ME 20/2025.
"Secara kumulatif, 11,003 kes demam denggi telah dicatatkan di Selangor hingga ME 21/2025, turut menunjukkan penurunan ketara sebanyak 66 peratus berbanding 21,316 kes bagi tempoh sama 2024," katanya.
Jamaliah berkata dua kematian akibat denggi direkodkan setakat ini berbanding 11 kes dalam tempoh sama tahun lepas.
Beliau berkata trend penurunan itu membuktikan keberkesanan tindakan bersepadu antara Jabatan Kesihatan Selangor (JKNS), pihak berkuasa tempatan, agensi berkaitan serta komuniti dalam melaksanakan aktiviti kawalan dan pencegahan denggi di Selangor.
Jamaliah berkata bagaimanapun, kerajaan negeri ingin mengingatkan orang ramai supaya terus berwaspada serta memastikan kawasan kediaman dan persekitaran bebas daripada tempat pembiakan nyamuk Aedes, terutamanya menjelang musim hujan.
"Kerjasama berterusan semua pihak amat diperlukan bagi memastikan Selangor dapat terus mengekalkan trend penurunan kes demam denggi ini," katanya lagi.