SENAWANG, 9 Jun- 'Tidak tahu wajib mencarum'.
Itu alasan sering diguna majikan yang dikesan tidak membuat caruman Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) kepada pekerja mereka.
Menurut Pengarah PERKESO Negeri Sembilan, Fuad Alias, kesalahan itu kebanyakannya melibatkan majikan yang menjalankan perniagaan kedai kedai runcit dan kedai makan.
Menurutnya, setiap majikan yang menggajikan walaupun hanya seorang pekerja wajib mendaftar dengan PERKESO dalam masa 30 hari dari tarikh pekerja berkenaan diambil bekerja.
Kegagalan berbuat demikian boleh dikenakan denda sehingga RM10,000 atau penjara sehingga dua tahun atau kedua-duanya sekiranya disabit kesalahan.
"Kita akan mengesan mereka yang bekerja sendiri di bawah e-hailing dan p-hailing sekiranya mereka masih lagi gagal mendaftar sebagai pencarum PERKESO kita akan kenakan kompaun sebab sebelum ini memang kita tidak kenakan kompaun, kita buat secara sukarela, tapi sudah sampai masanya sekarang ni dah masuk dua tahun lebih, jadi sewajarnya mereka ini dikenakan kompaun kerana mereka ini perlulah melindungi diri mereka daripada sebarang kemalangan dengan mendapat perlindungan daripada PERKESO," katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Op Kesan di Senawang.
(Pengarah PERKESO Negeri Sembilan, Fuad Alias)
Tambahnya, PERKESO telah memberi tempoh pemutihan sepanjang Mei 2022 dengan membuka peluang kepada semua majikan yang layak tetapi masih belum berdaftar supaya berbuat demikian secara sukarela sebelum 1 Jun 2022.