fb fb fb fb fb

Dua mesyuarat utama alam sekitar sempena Kepengerusian ASEAN 2025

Majlis Peluncuran Kepengerusian ASEAN peringkat Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES) di Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM)/ BERNAMA

KUALA LUMPUR, 5 Februari- Dua mesyuarat utama alam sekitar akan diadakan sempena Kepengerusian ASEAN 2025.

Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES) Nik Nazmi Nik Ahmad berkata dua mesyuarat utama tersebut iaitu Mesyuarat Pegawai-Pegawai Kanan Alam Sekitar ASEAN (ASOEN) pada 28 Julai hingga 1 Ogos dan Mesyuarat Menteri-Menteri Alam Sekitar ASEAN (AMME) pada 1 hingga 5 September di Langkawi.

"Kita telah melancarkan Kepengerusian ASEAN. Kita akan ada dua mesyuarat utama iaitu Mesyuarat Pegawai-Pegawai Kanan Alam Sekitar ASEAN dan juga Mesyuarat Menteri-Menteri Alam Sekitar ASEAN.

"NRES juga akan menganjurkan 14 mesyuarat lain dengan rakan dialog ASEAN termasuk Kesatuan Eropah, China, Jepun, Korea, dan Amerika Syarikat berkaitan isu alam sekitar dan perubahan iklim.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas Majlis Peluncuran Kepengerusian ASEAN Peringkat Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam di Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM), Kepong.

Turut hadir, Timbalan Menteri NRES, Datuk Sri Huang Tiong Sii, Ketua Setiausaha Datuk Dr Ching Thoo Kim, serta kepimpinan utama kementerian.

Menerusi tema “ASEAN Satu Suara: Mempercepatkan Tindakan Iklim Demi Penjagaan, Perkongsian dan Keperluan Bersama”, Malaysia komited menggerakkan tindakan kolektif bagi memastikan masa depan yang lebih lestari.

Dalam majlis yang sama, Curatap WEL3, inovasi terbaru Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM) yang berasaskan cucur atap dan berpotensi membantu kawalan aras gula, turut dilancarkan.

Dengan kepimpinan Malaysia menerusi ASOEN dan AMME, ASEAN diharap dapat memperkukuh dasar alam sekitar bagi membentuk komuniti serantau yang lebih inklusif, lestari, dan berdaya tahan.

Dalam pada itu, beliau turut memaklumkan populasi Harimau Malaya menunjukkan indikasi peningkatan positif berdasarkan laporan awal di lapangan.

Katanya, walaupun angka rasmi masih dalam kajian, namun terdapat perkembangan yang menggembirakan hasil usaha pemuliharaan.

"Tetapi, kita akan menunggu bancian rasmi. Daripada angka-angka awal di lapangan yang kita terima ada perkembangan positif dan ini ekoran peningkatan kawasan perlindungan yang lebih luas, penguatkuasaan lebih ketat dan penglibatan komuniti ranger yang bertambah", katanya.

Pada 12 November lepas, Nik Nazmi berkata NRES terus komited untuk melindungi dan memulihara Harimau Malaya bagi memastikan spesies ikonik yang menjadi simbol Jata Negara tidak pupus.

ROSLINA BINTI DIN