fb fb fb fb fb

MBNPs rangka tujuh teras, visi tingkat daya saing belia Perlis

Foto MBNPs

KANGAR, 5 Februari - Majlis Belia Negeri Perlis (MBNPs) merangka tujuh teras utama sebagai Visi MBNPs 2025 hingga 2030 khusus untuk meningkatkan daya saing golongan belia di negeri Perlis.

Usaha itu juga bagi menggalakkan kemajuan belia yang seimbang dari segi ekonomi, sosial, mental, akhlak, pendidikan dan kepimpinan masa depan generasi belia.

Menurut Presiden Majlis Belia Negeri Perlis Mohd Jeffry Hassan, teras utama yang menjadi hala tuju MBNPs ialah Pendidikan dan Kemahiran, Kesihatan dan Kesejahteraan Hidup, Kenegaraan dan Perpaduan Nasional serta Pembangunan Ekonomi, Keusahawanan dan Digitalisasi dan Kepimpinan dan Kesukarelawanan, Pengstrukturan Holistik Pertubuhan Belia serta Pemerkasaan Dataraya Pertubuhan Belia.

Setiap visi yang dirangka dalam usaha melonjak dan memperkasa setiap pertubuhan belia supaya dapat memainkan peranan lebih aktif dan positif serta berkesan kepada masyarakat setempat dan negara.

"Golongan belia perlu mempunyai sikap bertanggungjawab, jati diri yang kuat dan semangat patriotisme yang tinggi serta nilai kesukarelawan dalam membangunkan komuniti belia yang seimbang dalam pelbagai bidang," kata Jeffry Hassan.

Beliau memaklumkannya pada Sesi Khas Majlis Belia Negeri Perlis bersama Jabatan Belia dan Sukan Negeri Perlis di Kompleks Belia dan Sukan Negeri, di sini.

Sepanjang tahun 2025, Majlis Belia Negeri Perlis dengan kerjasama Jabatan Belia dan Sukan Negeri telah merangka pelbagai program pembangunan belia di peringkat akar umbi selain mengenal pasti pelbagai dana serta geran yang ditawarkan kerajaan melalui Kementerian Belia Dan Sukan untuk pembangunan belia di Perlis.

Usaha proaktif Majlis Belia dan Sukan Negeri Perlis ini sebagai pemangkin pelbagai program yang telah dilaksanakan sepanjang 2024 termasuklah sumbangan peralatan sukan kepada pasukan bola sepak DUN Kuala Perlis, sumbangan Tahun Baharu Cina, Program Santai Ceria Sekampung dan Perbincangan Meja Bulat bersama-sama kepimpinan sayap pemuda parti-parti politik di negeri Perlis.

TETITIA YUSOFF