RAUB, 23 September - Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) meningkatkan bilangan tenaga kerja untuk tugas pemantauan bagi menambah baik Op Jamin Fasa Dua yang menumpukan kepada pemantauan bekalan dan harga beras di seluruh negara.
Pemangku Menteri KPDN, Datuk Armizan Mohd Ali berkata penambahan seramai 900 pegawai pemantau harga KPDN menjadikan keseluruhan tenaga kerja terlibat seramai 2,390 orang, menyaksikan 8,684 buah premis berjaya diperiksa secara kumulatif sejak operasi itu dilancarkan 7 Julai lepas.
"KPDN bekerjasama dengan Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan menerusi Bahagian Kawal Selia Padi dan Beras mengadakan Op Jamin di seluruh negara dan kita putuskan untuk meneruskan fasa dua dengan pelbagai penambahbaikan.
"Tumpuan Op Jamin ini memantau bekalan dan harga beras di semua peringkat rantaian dengan meningkatkan tenaga kerja pemantauan, kita berjaya melipatgandakan jumlah premis yang diperiksa meliputi semua peringkat termasuk pengilang, pemborong dan peruncit," katanya.
Armizan berkata demikian pada sidang media selepas menyertai Op Jamin, di sini.
Tambah Armizan, kementerian juga akan terus mencari penambahbaikan berhubung isu barangan keperluan harian yang akan dibawa ke mesyuarat pasca Kabinet.
"Kita cuba bentang mekanisme terbaik kerana penguatkuasaan bukan untuk isu beras ini sahaja tetapi kita cuba mencari penyelesaian jangka masa panjang," katanya.