fb fb fb fb fb

Gesaan PM tindakan segera tangani krisis iklim di PBB, dipuji

KUALA LUMPUR, 23 September - Penekanan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, supaya negara maju mengambil tindakan segera menangani krisis iklim pada Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (UNGA) ke-78, disambut baik.

Ini berikutan kesan perubahan iklim global yang ekstrim ketika ini.

Presiden Persatuan Ekologi Malaysia, Profesor Dr Ahmad Ismail berkata komitmen dalam perkara tersebut amat diperlukan untuk menangani krisis iklim dalam mencapai Agenda 2030 yang ditubuhkan PBB.

"Komitmen tentang hal ini sangat diperlukan, bagaimana negara maju dapat membantu negara yang sedang membangun ini dalam menangani isu perubahan iklim. Perubahan iklim juga berkait rapat dengan kehilangan kepelbagaian biologi. Malaysia sebagai sebuah negara yang 12 di atas di dunia dalam kepelbagaian biologi sudah tentu memerlukan satu tindakan yang drastik untuk memastikan kepelbagaian biologi kita terjaga.

"Justeru itu juga dari segi tindakannya kerajaan mesti mendapat bantuan dan kerjasama daripada masyarakat antarabangsa dalam hal memastikan pemuliharaan kepelbagaian biologi ini berjalan dengan baik," kata Dr Ahmad Ismail, di sini.

Sementara itu, Dr Ahmad Ismail turut memuji kelantangan Perdana Menteri dalam menyuarakan pendirian berhubung Matlamat Pembangunan Mampan (SDG).

(Presiden Persatuan Ekologi Malaysia, Profesor Dr Ahmad Ismail)

"Adalah satu tempoh yang sangat singkat untuk kita capai menangani isu-isu kemiskinan, kebuluran dan lain-lain berkaitan ataupun kesan daripada prubahan iklim seperti SDG 14,15 yang mana ada kaitan terus berkaitan dengan makanan, berkaitan dengan kemiskinan.

"Jadi, secara umumnya debat atau ucapan yang Perdana Menteri itu memberikan sesuatu yang sangat baiklah kepada manusia dan harapkan kerajaan komited memastikan apa yang dicakapkan dan kita juga menyeru dunia untuk membantu Malaysia di mana ada kekurangan untuk mencapai SDG 2030 ini," katanya lagi.

Media Baharu