fb fb fb fb fb

OP Dadu Khas: tujuh ditahan

JOHOR BAHRU, 3 Oktober - Seramai tujuh individu terdiri daripada enam lelaki dan seorang wanita warga asing ditahan menerusi OP Dadu Khas yang dijalankan secara serentak, bagi membanteras kegiatan judi dalam talian serta loteri awam tanpa lesen di seluruh Johor, semalam.

Ketua Polis Johor, Datuk Kamarul Zaman Mamat berkata hasil pemeriksaan ke atas tujuh premis mendapati kesemua suspek yang ditahan berusia antara 22 hingga 60 tahun.

Turut dirampas, enam buah telefon bimbit, lima pencetak mudah alih dan wang tunai berjumlah RM655.

"Operasi ini telah dijalankan sejak 22 September lalu dan berjaya menahan seramai 256 individu termasuk 31 warga asing lelaki serta wanita yang berusia 18 hingga 66 tahun, hasil pemeriksaan ke atas 226 buah premis," kata Kamarul Zaman, di sini.

Pihaknya juga merampas 267 buah telefon bimbit, 102 pencetak mudah alih dan wang tunai berjumlah RM48,350.

Kesemua premis yang terlibat sedang dalam proses pembatalan lesen dan pemotongan bekalan elektrik masih menunggu kelulusan daripada pihak berkuasa tempatan (PBT) serta Tenaga Nasional Berhad (TNB).

Semua suspek di bawa ke mahkamah bagi permohonan tahanan reman mengikut peruntukan Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah.

Kes disiasat mengikut Seksyen 4A(a) dan 4B(a) Akta Rumah Judi Terbuka 1953.

(Turut dirampas 267 buah telefon bimbit)

Media Baharu