fb fb fb fb fb

OnSA lindungi pengguna dalam ekosistem digital

Foto hiasan

KUALA LUMPUR, 21 Disember - Pelaksanaan Akta Keselamatan Dalam Talian (OnSA) digubal bagi melindungi pengguna daripada ancaman daripada risiko kandungan palsu dan penyalahgunaan teknologi selain berupaya menyesuaikan diri dengan ekosistem digital.

Pensyarah Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media, UiTM Shah Alam, Norasikin Alimom berpendapat, tanpa kawalan dan kesedaran awam, penyebaran kandungan palsu berteknologi tinggi boleh menjejaskan keyakinan masyarakat terhadap maklumat digital, selain membuka ruang kepada kegiatan penipuan lebih licik.

"Jika dahulu kita diajar untuk mempercayai apa yang kita lihat, kini kita perlu lebih berhati-hati kerana apa yang dilihat dan didengar mungkin telah dimanipulasi.

"Hari ini kita berdepan dengan isu deepfake dan kecerdasan buatan yang menjadi cabaran besar dalam komunikasi digital. Sesiapa sahaja kini boleh menghasilkan video dan audio palsu sehingga audiens sendiri sukar membezakan apa yang asli dan apa yang dihasilkan oleh mesin," katanya ketika dihubungi RTM.

2112 REAX ONSA DEEPFAKE4
Norasikin Alimom

Ia bukan sekadar isu hiburan semata-mata, sebaliknya semakin kerap digunakan untuk tujuan jenayah, penipuan dan manipulasi maklumat, termasuk dalam politik, perniagaan dan sosial.

Keupayaan teknologi ini meniru wajah, suara dan ekspresi manusia secara realistik menjadikannya alat yang mudah disalahgunakan untuk menimbulkan kekeliruan dan menjejaskan reputasi individu.

"Dari sudut psikologi komunikasi, otak manusia cenderung mempercayai apa yang dilihat dan didengar, terutama apabila melibatkan individu terkenal seperti pemimpin atau selebriti. Apabila mereka melihat video yang kelihatan asli, mereka mungkin menganggapnya benar walaupun ia sebenarnya ciptaan algoritma," katanya.

Keupayaan untuk meniru ciri-ciri seseorang menjadikan ia sebagai alat dalam penyebaran maklumat palsu dan boleh menjejaskan keyakinan masyarakat terhadap kandungan digital.

Orang ramai turut dinasihatkan tidak berkongsi sebarang kandungan tidak sahih selain memeriksa sumber dan keaslian sesuatu bahan bagi mengelakkan diri daripada menjadi mangsa atau penyebar manipulasi maklumat.

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI