fb fb fb fb fb

APM nasihat penduduk bersiap siaga hadapi banjir gelombang kedua

Pengarah Bahagian Pengurusan Latihan APM, Kolonel Pertahanan Awam Effendy Ali/ Foto BERNAMA

KOTA TINGGI, 21 Disember – Penduduk yang tinggal berhampiran sungai dan di kawasan rendah dinasihatkan supaya sentiasa berwaspada susulan ramalan banjir gelombang kedua yang dijangka berlaku dalam masa terdekat.

Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) menggesa penduduk di kawasan terlibat agar membuat persediaan awal termasuk menyediakan keperluan penting sekiranya diarahkan berpindah ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS).

Pengarah Bahagian Pengurusan Latihan APM, Kolonel Pertahanan Awam Effendy Ali berkata, ramalan cuaca oleh Jabatan Meteorologi Malaysia menunjukkan kemungkinan berlakunya gelombang kedua banjir dalam tempoh terdekat.

“Penduduk perlu sentiasa bersedia dengan menyediakan beg kecemasan yang mengandungi dokumen penting, pakaian asas serta memastikan kenderaan dalam keadaan baik. Ibu bapa juga diingatkan supaya memantau pergerakan anak-anak dan mengelakkan mereka daripada bermain di kawasan sungai,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Peluncuran Kampung Angkat MADANI (KAM) di Felda Air Tawar 1, di sini.

Menurutnya, seramai 5,000 anggota APM bersama aset logistik berada dalam keadaan siap siaga dan boleh dikerahkan sekiranya situasi banjir gelombang kedua berlaku.

Selain itu, Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri akan diaktifkan melibatkan pelbagai agensi berkaitan bagi memastikan operasi bantuan dan pembukaan PPS dapat dilaksanakan dengan lancar.

Dalam perkembangan lain, Effendy berkata menerusi pelaksanaan KAM, APM turut menubuhkan Pasukan Sokongan Pertahanan Awam (CDA) sebagai barisan pertama bertindak ketika berlakunya bencana atau kecemasan.

Setakat ini, kira-kira 5,000 anggota CDA direkodkan di seluruh negara, dengan 30 anggota ditempatkan di Felda Air Tawar 1, Kota Tinggi.

AMIRULL SHAFFIQ BIN ABDUL GHANI