fb fb fb fb fb

Elemen tradisi warnai Program Khatan Perdana Masjid Jamek Shaik Eusof

21 kanak-kanak berusia antara tujuh hingga 10 tahun mandi bunga sebelum Program Khatan Perdana Masjid Jamek Shaik Eusof, Dhobby Ghaut

GEORGE TOWN, 21 Disember - Seramai 21 kanak-kanak berusia antara tujuh hingga 10 tahun menyertai Program Khatan Perdana yang menerapkan elemen tradisional sekali gus membangkitkan nostalgia dalam suasana penuh kemesraan komuniti.

Pengerusi Masjid Jamek Shaik Eusoff, Dhoby Ghaut, Yusof Yaacob berkata, kesemua peserta berpeluang mandi bunga sebelum memulakan program berkenaan.

Penganjuran program edisi ke-7 itu melibatkan keseluruhan kariah masjid termasuk ibu bapa dan golongan belia, sekali gus membina hubungan awal kanak-kanak dengan masjid berusia lebih 100 tahun tersebut.

"Program ini diadakan secara berkumpulan melibatkan seramai 21 peserta dengan kehadiran lima orang doktor bagi melaksanakan proses khatan. Selain itu, kami turut memasak dan menikmati juadah secara gotong-royong, sekali gus mewujudkan suasana ceria terutama dalam kalangan anak-anak.

"Program ini bertujuan membina nostalgia kanak-kanak terhadap masjid yang telah berusia lebih 100 tahun ini. Kami mahu suatu hari nanti mereka akan mengingati bahawa di sinilah mereka pernah berkhatan, dan secara tidak langsung akan kembali ke masjid ini untuk menunaikan solat," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita pada Program Khatan Perdana Masjid Jamek Shaik Eusof, Dhobby Ghaut Pulau Pinang kali ke-7 di sini.

Program berkenaan turut mendapat kerjasama Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pulau Pinang.

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI