fb fb fb fb fb

Onn Hafiz optimis selesai isu kesesakan CIQ, KSAB

Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ) Bangunan Sultan Iskandar (BSI)

ISKANDAR PUTERI, 13 Mei- Isu kesesakan di Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ) Bangunan Sultan Iskandar (BSI) dan Kompleks Sultan Abu Bakar (KSAB), Johor Bahru akan ditangani secara optimis kata Menteri Besar Johor Datuk Onn Hafiz Ghazi.

Beliau berkata lawatan mengejut akan diteruskan bagi memastikan keselesaan rakyat dan pengguna di kedua-dua pintu masuk negara tersebut.

"Saya sedar dan insaf bahawa ramai yang tidak senang dengan kehadiran saya di pintu-pintu masuk utama negara ini. Ramai yang tidak suka dengan lawatan-lawatan mengejut saya.

"Namun, percayalah saya tidak akan berhenti selagi isu legasi yang menghantui rakyat di negeri dan negara ini tidak diselesaikan," katanya ketika menjawab soalan lisan dalam Persidangan Ketiga DUN Johor ke-15 di Bangunan Sultan Ismail di sini.

Onn Hafiz juga yakin dan percaya dengan kepimpinan Jabatan Imigresen Negeri Johor yang baharu, dalam menyelesaikan isu melibatkan lebih 250,000 bangsa Johor yang berulang-alik mencari rezeki melalui kedua-dua pintu masuk negara setiap hari.

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI