fb fb fb fb fb

Malaysia akan perluas kerjasama perjanjian tenaga ke Asean

Datuk Seri Fadillah Yusof

KUALA LUMPUR, 13 Mei- Malaysia akan memperluaskan kerjasama melalui perjanjian tenaga dengan lebih banyak negara di Asean bagi memperkukuh ketersambungan dan keselamatan tenaga di seluruh rantau itu.

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, ketika ini Malaysia sudah ada perjanjian antara Thailand, Laos dan Singapura untuk bekalan tenaga dan sebagainya.

"Mungkin kita memperluas kepada seluruh negara Asean, disebabkan kita melihat kedudukan Semenanjung dengan keperluan tenaga begitu banyak. Tetapi sumber kita mungkin kurang, khususnya nanti apabila arang batu dihapuskan. Kita akan bergantung kepada gas, dan gas pula makin mahal sebab itu kita terpaksa import gas.

"Jadi kita kena cari alternatif lain seperti solar, hidrogen dan biojisim termasuk biodiesel ataupun biofuel yang akan kita keluarkan daripada bahan-bahan buangan yang boleh menghasilkan tenaga," katanya dalam sidang media selepas merasmikan Persidangan Hidrogen Hijau ASEAN 2024 di ibu negara.

Beliau yang juga Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA) berkata, menerusi usaha kerjasama itu, Pulau Borneo juga dilihat berpotensi untuk membekalkan tenaga boleh baharu pada masa akan datang.

"Pulau Borneo itu sendiri berada di tengah-tengah Asean, ini merupakan potensi yang menjadi pembekal tenaga yang boleh diperbaharui pada masa akan datang.

"Jadi ini yang kita lihat untuk jalinkan hubungan supaya penjanaan kuasa akan terjamin, mengekalkan selain mesra alam dan juga mampu dibayar oleh pengguna," katanya.

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI