fb fb fb fb fb

Onn Hafiz gesa Ranhill SAJ tangani segera masalah gangguan bekalan air

Foto hiasan/ Foto RTM

JOHOR BAHARU, 15 April - Kerajaan Johor menggesa syarikat pengendali air, Ranhill SAJ untuk segera menangani setiap aduan gangguan bekalan air semasa musim perayaan Hari Raya Aidilfitri baru-baru ini.
 
Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata, kerajaan negeri mahu syarikat itu mengambil tindakan yang proaktif dan mempertingkatkan kualiti perkhidmatan ke tahap maksimum demi kesejahteraan rakyat pada masa akan datang.
 

Menurut Onn Hafiz, kerajaan negeri kesal terhadap masalah gangguan bekalan air berkenaan yang menjejaskan persiapan rakyat untuk menyambut Aidilfitri.
 
Sebelum ini, pihak Ranhill SAJ telah menyatakan komitmen untuk memastikan tiada isu gangguan bekalan air mahupun catuan air, semasa musim perayaan.
 
Tambah Onn Hafiz, Kerajaan negeri juga meminta syarikat itu membuat persediaan dan tindakan sewajarnya bagi memastikan isu gangguan bekalan tidak timbul.
 

Bagaimanapun berdasarkan aduan semasa, kerajaan negeri mempertikaikan  keupayaan Ranhill SAJ sebagai syarikat operator bekalan air di Johor dalam menangani gangguan bekalan air yang berlaku setiap tahun.
 

KAMARULZAMAN BIN MUHAMAD