KUALA LUMPUR, 15 April- Angkatan Muda Keadilan (AMK) menyelar tindakan Israel yang berterusan melanggar undang-undang antarabangsa hingga mengundang konflik Israel-Iran di Asia Barat.
Menurut AMK, konteks di Asia Barat ketika ini memerlukan sebuah pendekatan berbeza bersandarkan fakta dan keadaan semasa berikutan pengeboman tanpa henti Israel ke atas Gaza sejak 7 Oktober tahun lalu termasuk serangan yang menyasarkan Syria dan Iran.
Justeru, masyarakat antarabangsa perlu menilai krisis tersebut daripada sudut pandangan adil dan saksama.
"Serangan ke atas Misi Diplomatik Iran di Damsyik pada 1 April lalu telah mengorbankan 18 nyawa termasuk dua pegawai tinggi tentera dan perlu dinilai sebagai suatu jenayah perang yang dilakukan oleh tentera penjajah Israel, rentetan daripada serangan ke atas bumi Palestin yang meragut nyawa seramai 33,000 orang serta memungkinkan krisis kebuluran kritikal dalam masa terdekat," menurut kenyataan AMK hari ini.
Tegas AMK lagi, sokongan serta sikap membisu Amerika Syarikat dan sekutu terhadap tindakan Israel sangat membimbangkan.
"Kami benar-benar kesal akan sikap yang tidak konsisten oleh Amerika Syarikat yang mengulangi komitmen “ironclad” bagi melindungi keselamatan Israel, tetapi terus membisu terhadap pelanggaran berkali-kali oleh pihak rejim Zionis.
"Kami berharap untuk melihat tindak balas yang tegas daripada komuniti antarabangsa terutamanya Amerika Syarikat dan sekutu berkenaan serangan ganas Israel di Syria dan Palestin," tambah kenyataan itu.
Sehubungan itu, AMK menuntut agar dunia tidak boleh bertolak ansur dan pihak bertanggungjawab perlu diheret ke muka pengadilan kerana sebarang bentuk tindakan kekerasan hanya akan mengakibatkan krisis semakin kritikal.
"Kami menyeru kepada komuniti antarabangsa untuk sama-sama mengutuk dan bertindak tegas terhadap semua bentuk kekerasan dan keganasan, tidak kira pelakunya, demi mengakhiri konflik seterusnya mewujudkan keamanan berkekalan di rantau tersebut dengan berfokus kepada kemerdekaan rakyat dan negara Palestin sebagai agenda utama.
"Peperangan dalam apa jua bentuk akan membawa kerugian kepada semua pihak," menurut kenyataan itu lagi.