KUALA LUMPUR, 2 Januari - Kementerian Kesihatan (KKM) tidak menolak besar kemungkinan gelombang varian Omicron akan bermula di Malaysia sepertimana yang berlaku di negara-negara lain.
Justeru Menterinya Khairy Jamaluddin menegaskan, beberapa langkah segera perlu diambil untuk memperlahankan penularan varian membimbangkan (VOC) itu.
Menurut entri dilaman twitternya pada Ahad, antara langkah memperlahankan penularan Omicron termasuk liputan dos penggalak yang luas, pemakaian pelitup muka, pengudaraan yang baik, #TRIIS (ujian, lapor, mengasingkan), MySJ Trace dan kawalan pintu masuk antarabangsa.
Mengulas lanjut Khairy berkata dengan memperlahankan jangkitan Omicron ia mampu mengelakkan sistem kesihatan awam menjadi lumpuh.
Katanya lagi kadar kebolehjangkitan Omicron lebih tinggi berbanding Delta.
Setakat semalam, jumlah keseluruhan varian itu di negara ini adalah sebanyak 64 kes.
Jelas beliau, sebanyak 32 kes atau 50 peratus daripada keseluruhan jangkitan Omicron yang dikesan di Malaysia berlaku dalam kalangan jemaah umrah.