fb fb fb fb fb

KPLB segerakan inisiatif sokong bantuan banjir Keluarga Malaysia

PUTRAJAYA, 2 Januari - Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) akan menyegerakan bantuan banjir Keluarga Malaysia berdasarkan inisiatif yang diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dalam perutusan tahun baru 2022.

Menterinya Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, KPLB bersama 8 agensinya iaitu MARA, RISDA, FELCRA, KEJORA, KESEDAR, KETENGAH, KEDA dan PERDA, sedia melaksanakan inisiatif bantuan Keluarga Malaysia pada kadar segera mengikut peruntukan sedia ada.

"Ketika ini dalam fasa pasca banjir, KPLB dan semua agensi di bawahnya sedang melaksanakan kerja-kerja penilaian kerosakan yang dialami oleh penduduk terjejas banjir, selain menjalankan kerja-kerja pembersihan menerusi pasukan sukarelawan yang turun padang di Bentong, Hulu Langat dan juga Banting.

Kita juga komited dalam memastikan segala bantuan disalurkan segera bagi memastikan kebajikan dan keperluan penduduk terjejas banjir terutama di luar bandar terjamin", katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

Jelas Mahdzir, lebih 3,000 sukarelawan KPLB dan agensinya digerakkan bagi membantu kerja-kerja pembersihan rumah penduduk terjejas banjir termasuk membaiki pendawaian dan barangan elektrik di Kawasan Angkat di Bukit Changgang, Banting, Huala Langat dan Kampung Karak Setia, Bentong, Pahang.

KPLB juga, memperuntukkan sejumlah RM4 juta dalam bentuk sumbangan barangan keperluan seperti bakul makanan dan kit pembersihan diri kepada penduduk terjejas.

Bagi bantuan baik pulih rumah, KPLB menyediakan peruntukan RM15,000 bagi setiap rumah penduduk luar bandar yang layak menerima bantuan itu.

Manakala RM56,000 diperuntukkan bagi bantuan bina baharu rumah penduduk terjejas banjir yang kehilangan kediaman sepenuhnya.

Media Baharu