fb fb fb fb fb

Nyamuk Aedes ancam Croatia ketika perubahan iklim

ZAGREB, 20 Julai- Croatia berada dalam keadaan bimbang apabila perubahan iklim dipercayai boleh mengakibatkan penyakit tropika bawaan nyamuk kepada negara Mediterranian.

Biarpun langkah pencegahan serangga itu telah dilakukan di Zagreb, ia tetap menimbulkan kerisauan.

Langkah yang dilakukan negara itu merupakan sebahagian daripada projek perintis yang memfokuskan untuk membasmi nyamuk Harimau Asia (Aedes) yang boleh membawa penyakit seperti demam denggi, chikungunya dan zika.

Spesies itu kelihatan semakin banyak membiak di negara tersebut dan di seluruh rantau dalam beberapa tahun kebelakangan ini. Ia berikutan perubahan iklim dengan cuaca yang lebih panas. Faktor itu menjadikan kawasan tersebut sesuai untuk pembiakan nyamuk.

"Masih terlalu awal untuk menyatakan sama ada usaha ini akan membuahkan hasil," kata penduduk Zagreb Kruno Lokotar kepada AFP. "Tetapi saya gembira bahawa kita tidak hanya berpegang pada kaedah penyemburan."

(Nyamuk jantan dibiakkan untuk dilepaskan di kawasan pembiakan nyamuk Aedes/AFP)

Usaha Croatia tertumpu pada kaedah yang menggunakan nyamuk jantan yang telah disterilkan dan dilepaskan ke habitat nyamuk Aedes. Ia membolehkan nyamuk jantan mengawan dengan nyamuk betina dan meneutralkan potensi bagi spesies itu.

Projek Zagreb bermula pada Jun dengan melepaskan 100,000 nyamuk dilepaskan di kawasan berisiko tinggi.

"Jika kami melepaskan jumlah jantan steril yang mencukupi dalam tempoh tertentu di sesuatu kawasan, populasi nyamuk di kawasan itu akan berkurangan," Ana Klobucar, pakar entomologi perubatan institut kesihatan awam, memberitahu AFP.

Teknik Serangga Steril (SIT) merupakan kaedah yang telah digunakan selama beberapa dekad di seluruh dunia untuk memerangi pelbagai serangga berbahaya, namun masih diuji keberkesanannya terhadap nyamuk di kawasan bandar.

Croatia mula menggunakan kaedah itu pada tahun lepas di utara semenanjung Istria.

Pakar entomologi Nediljko Landeka dari institut kesihatan awam serantau memberitahu AFP, "tahun ini sejumlah 1.2 juta serangga yang dirawat akan dilepaskan di sana dalam tempoh tiga bulan."- AFP

Media Baharu