IPOH, 20 Julai - Sebanyak RM144 juta nilai kerugian direkodkan Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Perak sepanjang tahun lalu.
Pengarah JBPM Perak, Sayani Saidon berkata, antara penyumbang utama kepada angka kerugian ini adalah kebakaran melibatkan kilang dan premis pelancongan yang menyumbang kepada ekonomi negara.
Katanya, setakat Jun tahun ini, JBPM Perak merekodkan sebanyak RM21.4 juta nilai kerugian.
"Jumlah tersebut lebih tinggi sekiranya mengambil kira kos lain iaitu bukan kerugian fizikal, kalau dikira kerugian tidak langsung nilainya lebih besar.
"Antaranya kos disebabkan kehilangan pekerjaan, kehilangan daya saing, kehilangan pelanggan akibat kebakaran menyebabkan kerugian ekonomi negara kerana ia mempengaruhi keyakinan pelabur untuk melabur," katanya kepada pemberita pada Seminar Keselamatan Kebakaran Negeri Perak 2023 di Hotel Casuarina di sini, hari ini.
Seramai 400 peserta terlibat dalam seminar yang dianjurkan jabatan tersebut.
Seminar itu bertujuan memberi pengetahuan mengenai keselamatan kebakaran kepada masyarakat terutama kepada pemilik dan penghuni bangunan yang berisiko tinggi, arkitek, konsultan reka bentuk bangunan dan penyelenggara sistem keselamatan kebakaran.