KUALA LUMPUR, 23 Mei - Lebih 30,000 aduan penipuan kewangan dalam talian diterima Pusat Response Scam Kebangsaan (NSRC) setakat April lalu.
11,000 daripadanya merupakan panggilan mangsa scam dengan jumlah kerugian RM104.8 juta.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata dengan mengambil kira perebakan kes seumpamanya ke seluruh dunia, beberapa langkah kerjasama dengan negara lain giat dilaksana untuk mencari kaedah berkesan bagi menanganinya.
Ini terutama dalam aspek perancangan dan penilaian berkaitan pengukuhan operasi NSRC termasuk memanjangkan masa operasi NSRC.
"Cadangan untuk menambah waktu operasi dipersetujui tetapi saya ingin maklum bahawa Bank Negara (BNM) telahpun memberi maklum kepada semua bank supaya operasi pemantauan 24 jam ini ada ke arah automatik supaya pengadu boleh mengambil tindakan menghentikan pengeluaran dana dari bank serta-merta. Ini perkembangan yang baru dilakukan oleh BNM," katanya.
Beliau menjawab pertanyaan Ahli Parlimen Bakri, Tan Hong Pin pada sesi pertanyaan menteri di Dewan Rakyat.
Sementara itu, Anwar berkata strategi serta kerjasama sedia ada akan terus diperkukuh dari semasa ke semasa bagi menangani kes penipuan.
Untuk itu, sebanyak 3,595 kes penipuan dan 33 kertas siasatan bagi kesalahan pengubahan wang haram telah diambil tindakan di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan.
"Kerajaan telah dapat pulangan rampasan RM34.8 juta. Isunya sekarang ialah bagaimana kita hendak pulangkan. Jadi, arahannya sekarang ialah beberapa pindaan termasuk kanun tatacara jenayah supaya dapat dipulangkan lebih awal kepada pengadu atau mangsa dan dikekalkan bon sebagai ganti sementara kes berjalan.
"Kalau tidak, ia terpaksa tunggu dua tahun supaya dapat balik wang yang telah ditipu itu," katanya.