LANGKAWI, 23 Mei - Langkawi kembali digegarkan dengan deruman enjin jet pejuang setelah Pameran Antarabangsa Maritim dan Aeroangkasa Langkawi 2023 (LIMA '23) membuka tirainya hari ini.
Majlis pembukaan segmen pertunjukan udara disempurnakan Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamad Hasan bersama Menteri Pengangkutan, Anthony Loke.
‘Gracing dan Opening Gambit’ TUDM sempena LIMA 2023 di MIEC)
Antara aset terlibat dalam pertunjukan formasi itu adalah 31 pesawat milik Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) jenis F/A18-AD Hornet, Hawk 108/208, Sukhoi SU30MKM dan pesawat pengangkut jenis C-130H dan A400M. Manakala lima helikopter dari Tentera Darat ialah jenis MD530G, EC725AP, EC725, AW139 dan AW109.
Pertunjukan pembukaan itu berlangsung selama setengah jam; turut menampilkan pasukan aerobatik antarabangsa yang melakukan persembahan membabitkan Black Eagle dari Korea Selatan, Jupiter (Indonesia), Russian Knight (Russia) dan August 1st (China).
Bagi segmen maritim, acara pembukaan bakal dilancarkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim petang ini di Resort World Langkawi.
LIMA '23 dijangka menarik kehadiran lebih 45,000 pelawat perdagangan dan 250,000 pengunjung awam.
LIMA kali ke-16 itu disertai lebih 525 pempamer; akan berlangsung sehingga Sabtu ini.