fb fb fb fb fb

Kalimah Allah: Tarik rayuan bagi perkemas, elak bercanggah keputusan Majlis Raja-Raja - PM

(Anwar Ibrahim)

KUALA LUMPUR, 23 Mei- Keputusan kerajaan menarik balik rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi dalam kes penggunaan kalimah Allah bertujuan memperkemas dan mengelak sebarang keputusan bercanggah dengan apa yang diputuskan Majlis Raja-Raja Melayu.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, keputusan itu dibuat selepas mendapat pandangan peguam negara dan dirujuk Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, agar ia dapat diperjelaskan serta tidak akan berbangkit isu yang sama.

"Peguam negara berpendapat kes lemah kerana peraturan yang dibuat Kementerian Dalam Negeri (KDN), maka keputusan yang dibuat atas pandangan peguam negara dan dirujuk Yang di-Pertuan Agong ialah memperkemaskan.

"Kalau tidak, kita buat rayuan, kes akan bangkit lagi kerana ada percanggahan.

"Jadi sebab itu kita (kerajaan) tamatkan dengan pinda semua peraturan supaya jelas dan tidak ada kes berkaitan yang boleh dibawa ke mahkamah," katanya ketika menjawab pertanyaan wakil Kota Bharu, Datuk Seri Takiyuddin Hassan di Dewan Rakyat, di sini, hari ini.

Dalam pada itu, Anwar menegaskan bahawa isu penggunaan kalimah Allah tidak perlu terus dipolitikan kerana keputusan itu adalah selari serta tidak bercanggah dengan keputusan Majlis Raja Raja.

"Ia memang dirujuk kepada Yang di-Pertuan Agong dan baginda memberi pandangan supaya semua keputusan harus terikat dengan keputusan Majlis Raja-Raja iaitu kalimah Allah tidak boleh digunakan di Semenanjung dan kelonggaran diberi di Sabah dan Sarawak. Jadi, tidak timbul isu soal tidak dirujuk." tambahnya lagi menjawab pertanyaan wakil Bagan Serai, Datuk Idris Ahmad di sini.

Jelas Anwar, undang-undang mengenai penggunaan kalimah Allah tidak pernah dipinda sejak tahun 1986.

"Keputusan yang dibuat sejak 1986 tidak pernah dipindah, sekarang Kerajaan Perpaduan hendak pinda supaya dapat diperjelaskan lagi fungsinya," tambahnya.

Cadangan bagi mengemaskini peraturan berhubung penggunaan kalimah Allah bakal dibentangkan dalam Mesyuarat Majlis Raja-Raja pada Julai ini.

Anwar berkata, kerajaan akan merujuk kepada Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia (MKI) yang dipengerusikan Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah.

(Anwar Ibrahim/Takiyuddin Hassan)

Media Baharu