BANGI, 22 Februari- Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES) meneruskan kempen 'Jom Beli Produk Hijau' dalam usaha menggalakkan rakyat Malaysia untuk membeli dan menggunakan produk Hijau.
Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Nik Nazmi Nik Ahmad berkata, sambutan daripada masyarakat amat memberangsangkan terhadap program itu selain memberi impak positif.
Kempen berkenaan telah mencatatkan jualan lebih RM250,000 dengan 3,000 barangan atau produk terjual melibatkan Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS).
"Bagi kita ini satu usaha positif sebab kerajaan pun ada dasar perolehan hijau mungkin sesetengah ini syarikat kecil untuk mereka meningkatkan jualan.
"Maka program seperti ini baik supaya mereka diberi pendedahan kepada pasaran lebih besar dan keuntungan dapat dikitar semula dikitar semula untuk menjadi syarikat besar. Insya-Allah kita akan teruskan program ini tahun ini dan kita akan maklumkan butiran beli barangan hijau ini," katanya selepas sesi penyampaian hadiah Kempen Jom Beli Produk Hijau di Perbadanan Teknologi Hijau dan Perubahan Iklim Malaysia (MGTC) di sini.
Kempen dianjurkan pada tahun lepas itu adalah usaha antara Perbadanan Teknologi Hijau dan Perubahan Iklim Malaysia (MGTC) dan e-pasaran terkemuka, Shopee Malaysia, dengan memanfaatkan landskap digital untuk menjangkau sasaran lebih luas.
Kempen itu akan menampilkan produk hijau yang diperakui bawah skim pengiktirafan tanda MyHIJAU dan label disahkan hijau lain termasuk barangan isi rumah seperti detergen, cat, produk pembungkusan, peralatan dapur dan kertas.
Nik Nazmi berkata NRES akan mengadakan pelbagai aktiviti dan libat urus bagi menggalakkan lebih ramai pihak menggunakan produk hijau di negara ini.