KUALA LUMPUR, 22 Februari- Kerajaan merancang membangunkan sebuah sistem yang dapat memastikan hak milik kandungan dan bahan berita dihasilkan oleh pemilik asal, terjamin kata Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil.
Sistem dibangunkan itu membolehkan pemilik asal membuat aduan jika terdapat pihak yang mengambil kandungan atau berita tanpa menyebut sumber asal.
"Di sini saya lihat kita mungkin perlu satu sistem asas yang mana pemilik asal kepada berita itu boleh buat aduan dan pihak Suruhanjaya Komunikasi Multimedia Malaysia (MCMC) boleh ambil tindakan.
"Saya lihat isu hak cipta ini bukan terkesan kepada e-dagang sahaja tetapi banyak berita diambil tanpa kebenaran pihak asal. Inilah kadang kala mengakibatkan maklumat disalah tafsir diubah suai seolah-olah itulah yang dilaporkan media asal," katanya dalam sidang media selepas merasmikan majlis '5G Advanced Trial Showcase' kerjasama Maxis di ibu negara.
Sementara itu 5G advance diperkenal bagi memfokuskan kelajuan rangkaian dan prestasi internet lebih baik, serta berkapasiti lebih besar selain menawarkan kelajuan pantas sehingga 8Gbps.
Teknologi itu turut memberi peningkatan sehingga 10 kali ganda kelajuan termasuk sambungan peranti serentak berbanding 5G sebelum ini.
Fahmi turut berharap penggunaan teknologi itu akan diguna pakai pemain industri sektor berkaitan, agar dapat membantu syarikat Malaysia dalam pembangunan ekonomi negara selain menjadi penyelesaian pemacu digitalisasi masa hadapan.