fb fb fb fb fb

Eksport produk halal Malaysia ke Jepun dijangka meningkat

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi

OSAKA, 22 Februari - Eksport produk halal Malaysia ke Jepun dijangka meningkat 10 peratus tahun ini, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Katanya, unjuran itu berdasarkan kesediaan Jepun menerima kehadiran pengunjung dan pempamer daripada negara Islam pada Ekspo Osaka 2025.

Pada tahun 2022 keseluruhan eksport Malaysia bernilai RM59.6 bilion dengan RM3.6 bilion daripadanya adalah produk halal berasakan makanan dan minuman.

Daripada jumlah itu juga, RM1.87 bilion merupakan bahan ramuan untuk pengeluaran produk halal di Jepun.

"Tentunya saya mengharapkan usahawan mikro dan kecil sederhana untuk bersama-sama menerokai pasaran di Jepun ini terutama tahun hadapan mereka sangat memerlukan banyak bahan daripada Malaysia.

"Saya juga akan berbincang dengan Halal Development Corporation (HDC) dan Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) bagi mempromosikan bahan daripada Malaysia ini," kata Zahid kepada pemberita selepas menyaksikan Majlis Menandatangani dua Memorandum Persefahaman (MoU) antara Hala Development Corporation (HDC), AEON Co. (M) Berhad dan Persatuan Halal Jepun (JHA), di sini.

Terdahulu, beliau mengadakan pertemuan bersama-sama pemain industri halal terkemuka di Jepun.

Pertemuan itu sekali gus meletakkan asas lebih kukuh dan mencatat lembaran baharu dalam memperkasa kerjasama berterusan antara Malaysia dan Jepun ke arah meningkatkan amalan serta piawaian halal antarabangsa.

Sidang meja bulat anjuran Halal Development Corporation Berhad (HDC) tersebut bertemakan 'Menghubungkan Ekosistem Halal Antara Malaysia dan Jepun bagi Meningkatkan Perdagangan, Pelaburan dan Pekerjaan Berkualiti'.

Sebelah pagi tadi, beliau mengadakan lawatan ke Sanda Shokunika Kosha Co. Ltd untuk melihat operasi pusat penyembelihan Jepun dalam pengeluaran dan pembekalan daging lembu halal.

TETITIA YUSOFF