PUTRAJAYA, 31 Mac - Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES) sedang meneliti draf akhir peraturan buangan peralatan elektrik dan elektronik bagi membolehkan Mekanisme Pengurusan Buangan Peralatan Elektrik dan Elektronik (e-sisa) yang dijana isi rumah di negara ini, dapat dikuatkuasakan tahun depan.
Menteri berkenaan Nik Nazmi Nik Ahmad berkata mekanisme itu bertujuan menangani e-sisa yang dihasilkan isi rumah dan sektor bukan industri seperti komersial dan institusi.
Beliau berkata mekanisme itu akan membabitkan pihak pengilang, pengimport, pengguna, pusat pengumpulan berdaftar dan pemerolehan kembali (premis kitar semula) yang dilesenkan di bawah Jabatan Alam Sekitar (JAS).
"Kerangka itu kita sudah ada tetapi perlu disesuaikan dengan realiti sektor bukan industri, kemudian bila dah melalui proses libat urus dengan pihak berkepentingan kita akan ke peringkat seterusnya," katanya kepada Bernama di sini.
Menurutnya seperti negara lain, Malaysia tidak terkecuali untuk memastikan e-sisa yang dihasilkan dalam negara mesra alam melalui penambahbaikan perundangan dan pembangunan mekanisme pengurusan e-sisa.
Mengulas lanjut Nik Nazmi berkata peraturan yang dirangka menekankan konsep ‘Tanggungjawab Pengeluar yang Diperluas dan Tanggungjawab Bersama’ kepada semua pihak berkepentingan yang terlibat dalam menghasilkan enam item kawalan e-sisa iaitu peti ais, mesin basuh, telefon bimbit, komputer, penyaman udara dan televisyen.
"Menyedari peningkatan kuantiti e-sisa yang telah menjadi ancaman global ketika ini dan kepentingan serta keperluan sistem pengurusan khusus untuk menangani e-sisa, semakin banyak negara di dunia telah menggubal peraturan berkenaan perkara ini.
"Statistik menunjukkan e-sisa dilindungi oleh perundangan, polisi dan peraturan di 78 negara pada 2019 berbanding 61 negara pada 2014. Statistik ini menunjukkan kesedaran mengenai e-sisa telah mula meningkat," katanya.
Beliau berkata Taiwan, Jepun dan Kesatuan Eropah telah menggubal peraturan e-sisa sejak lebih 20 tahun lepas manakala sejak beberapa tahun kebelakangan ini, beberapa negara jiran di Asia Tenggara juga telah menggubal peraturan e-sisa mereka sendiri.
Menurutnya Malaysia perlu mempunyai satu garis panduan jelas berhubung pengurusan e-sisa terutama bagi menghindar pencemaran bahan-bahan berbahaya yang terkandung dalam sisa buangan berkenaan sekiranya tidak dilupuskan dengan cara betul.
"Selain itu ada satu fenomena baharu dipanggil sebagai perlombongan urban iaitu usaha untuk mendapatkan semula logam mahupun bahan nadir bumi yang ada dalam e-sisa dan boleh dikitar semula menjadikan garis panduan itu amat penting," katanya.
Pada masa ini, sistem pelupusan e-sisa hanya dilaksanakan pada peringkat industri manakala pelupusan pada peringkat isi rumah atau masyarakat awam tidak dilakukan secara sistematik dan hanya dibuang di tong sampah atau dibuang secara haram.
E-sisa yang dijana daripada proses perindustrian dikawal oleh JAS melalui Peraturan-Peraturan Kualiti Alam Sekeliling (Buangan Terjadual) 2005 dan Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 dari mula ia dihasilkan sehingga dilupuskan.
Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu menganggarkan secara purata 7.6 kilogram e-sisa dijana oleh setiap individu pada 2021 yang secara keseluruhannya mencatatkan penjanaan e-sisa sebanyak 57.4 juta tan seluruh dunia.
Perkara itu amat membimbangkan kerana didapati hanya 17.4 peratus e-sisa sahaja yang dilaporkan dikitar semula atau dilupuskan secara pengurusan mesra alam. - BERNAMA