fb fb fb fb fb

Kurang 12 jam hari terakhir daftar PADU

Penduduk setempat tidak melepaskan peluang membuat pendaftaran dan kemas kini maklumat dalam sistem Pangkalan Data Utama (PADU) berakhir hari ini.

PETALING JAYA, 31 Mac - Berbaki kurang 12 jam sahaja lagi pendaftaran dan kemas kini maklumat dalam sistem Pangkalan Data Utama (PADU) akan berakhir hari ini.

Susulan itu, penduduk Flat Sri Aman tidak melepaskan peluang membuat pendaftaran di kaunter fizikal sistem PADU yang dibuka sempena Program Pendaftaran Padu Bersama Ketua Perangkawan Malaysia Datuk Seri Mohd Uzir Mahidin di sini, hari ini.

Program tersebut merupakan inisiatif DOSM untuk memudahkan rakyat membuat urusan secara bersemuka bagi mereka yang berdepan masalah untuk mendaftar secara dalam talian.

Setakat semalam, seramai 9.82 juta daripada 30.08 juta rakyat di negara ini telah mengemas kini data dan maklumat di sistem PADU.

Menerusi laman Facebook rasmi PADU, negeri Selangor merekodkan 1.56 juta individu telah mengemas kini data mereka diikuti Johor (1.10 juta), Perak (0.98 juta), Sarawak (0.90 juta), Sabah (0.83 juta) dan Kedah (0.76 juta).

Selain itu, Kelantan (0.67 juta), Kuala Lumpur (0.57 juta), Pulau Pinang (0.56 juta), Pahang (0.55 juta), Terengganu (0.46 juta), Negeri Sembilan (0.42 juta), Melaka (0.30 juta), Perlis (0.11 juta), Wilayah Persekutuan Putrajaya (0.03 juta) dan Labuan (0.02 juta).

PADU berperanan memastikan setiap warganegara yang layak menerima manfaat berbentuk bantuan atau perlindungan daripada pelbagai inisiatif kerajaan berfokuskan rakyat.

Sistem PADU mengandungi profil individu dan isi rumah meliputi warganegara dan pemastautin tetap berumur 18 tahun ke atas di Malaysia.

GRACE AISYAH KEDAYAN