SIBU, 31 Mac - Seorang lelaki maut apabila kereta yang dipandunya melanggar bahagian belakang jengkaut yang diparkir di Kilometer 30, Jalan Nanga Tutus dekat sini, pada 9.30 malam tadi.
Ketua Bomba dan Penyelamat Zon Sibu, Andy Alie berkata mangsa Ingkoi Ledom, 58, ditemukan dalam keadaan tidak sedarkan diri di tempat duduk pemandu kenderaan jenis Perodua Kenari.
Beliau berkata pihaknya menggerakkan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sungai Merah ke lokasi kejadian.
“Mangsa tersepit dan disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan Hospital Sibu di lokasi kejadian dan mayat diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Beliau memaklumkan 11 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sungai Merah, Sibu dan tiga anggota dari BBP Pusat Sibu digerakkan ke lokasi kejadian yang terletak kira-kira 33 kilometer dari sini.
Operasi selesai pada 11.06 malam tadi.