fb fb fb fb fb

NRES komited bendung perlombongan haram REE

Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Nik Nazmi Nik Ahmad

KOTA BHARU, 9 Januari - Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES) komited membendung aktiviti perlombongan haram unsur nadir bumi (REE) dengan mengambil tindakan tegas terhadap pihak terbabit.

Menterinya Nik Nazmi Nik Ahmad berkata, pihaknya juga akan bekerjasama erat dengan kerajaan negeri memandangkan perlombongan mineral itu, bawah bidang kuasa mereka.
 
"Kita akan memantau secara bersama, apa itu jadi kita pun ada mengambil tindakan apabila ada perlombongan haram dan sebagainya untuk memastikan dasar yang kita sudah tetapkan dipatuhi.

"Jadi sebagaimana kita semua sedia maklum dasar yang ada harini  perlombongan dibolehkan tetapi pemprosesan perlu dibuat di dalam negara  jadi itu yang dasar kita tetapkanlah," kata Nik Nazmi.
 
Beliau berkata demikian pada sidang media di Majlis Penyerahan Mock Title Hakmilik strata Skim Desa Seri Maju Padu Apartment Kota Bharu, Kelantan.

Mengulas lanjut katanya, pemantauan terhadap aktiviti perlombongan REE akan sentiasa dilakukan dengan melibatkan pihak berkuasa berkaitan bagi memastikan pembangunan REE itu dilakukan dengan lestari dan selari dengan dasar yang telah ditetapkan oleh kerajaan.
 
Terdahulu media melaporkan, lebih 1.2 juta hektar kawasan atau 12,150 kilometer persegi (km2) yang berpotensi memiliki unsur nadir bumi (REE) di seluruh negara terdedah kepada kegiatan risiko perlombongan haram kerana kaedah melombong yang mudah.

Selain tidak memerlukan peralatan berat yang banyak, REE menjadi tarikan kegiatan haram itu kerana harga jualannya yang mahal.

Penyelidik di Pusat Kajian Gold, Rare Earth and Material Technopreneurship Centre (GREAT), Pejabat Timbalan Naib Canselor Penyelidikan dan Inovasi, Universiti Malaysia Kelantan (UMK), Profesor Dr Abdul Hafidz Yusoff berkata, sudah tiba masanya Kerajaan Persekutuan dan negeri memberi tumpuan kepada perlombongan REE kerana ia mampu meningkatkan ekonomi negeri dengan hasil baharu.

Dalam pada itu Nik Nazmi memberitahu kementeriannya sedang giat melaksanakan pindaan dan penambahbaikan terhadap Akta Hakmilik Strata 1985 [Akta 318].

Ia bagi menangani permasalahan rakyat yang mendiami perumahan bertingkat atau strata khususnya kediaman strata kos rendah dan sederhana rendah.
 
"Ini undang-undang biasalah kalau kita rasa ada perlu untuk penambahbaikan, apabila ia sudah beroperasi kita akan buat penambahbaikanlah, jadi ini kita dalam proses untuk memantapkan bersama dengan pihak Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) untuk kita memantapkanlah akta hak milik strata sebab sekarang kita tahu semakin banyak hak milik sekarang berbentuk strata semakin banyak pembinaan bangunan strata dan sebagainya," katanya.

Mengulas lanjut katanya, masalah yang kerap dialami pembeli skim strata adalah kelewatan dan ketiadaan dokumen hakmilik strata.
 
Justeru, bagi menangani permasalahan tersebut, pihaknya menerusi Jabatan Ketua Pengarah Tanah dan Galian Persekutuan (JKPTG) sentiasa berbincang dalam pelbagai sesi libat urus denGAN Jabatan Perumahan Negara, Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Jabatan Ukur, Jabatan Pemetaan Malaysia (JUPEM), PTG negeri serta pihak berkuasa tempatan (PBT).

TETITIA YUSOFF