PASIR MAS, 9 Januari - Seekor buaya tembaga dipercayai tersesat di Kampung Sakar Sungai Pasir Mas, Kelantan baru-baru ini berjaya memasuki perangkap yang dipasang Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) Kelantan, hari ini.
Pengarah PERHILITAN Kelantan Mohamad Hafid Rohani berkata, perangkap tersebut dipasang pihaknya pada 2 Januari lalu selepas menerima aduan berkenaan kehadiran seekor buaya di Parit Air Kampung Sakar Sungai, Pasir Mas.
"Susulan aduan tersebut, kakitangan Pejabat PERHILITAN Daerah Kota Bharu telah ke lokasi aduan untuk menjalankan siasatan dan pemantauan," kata Mohamad Hafid menerusi satu kenyataan.
Hasil siasatan mendapati aduan adalah berasas berdasarkan kepada maklumat dan gambar buaya yang diberikan pengadu.
Katanya, jarak antara lokasi dan sungai Kelantan adalah 1 kilometer (km). Reptilia terbabit dipercayai tersesat dari Sungai Kelantan semasa banjir pada akhir November lalu.
Mohamad Hafid berkata, pemeriksaan dan pengukuran morfologi telah dilaksanakan ke atas buaya tersebut dan operasi pemindahan akan dilaksanakan segera ke habitat asal yang sesuai dan jauh dari kawasan penempatan.