fb fb fb fb fb

NPE 2 pacu pembangunan koridor Pantai Dalam-Bangsar–Mahameru

NPE2 dijangka mula beroperasi 2029 / Foto FB Alexander Nanta Linggi

KUALA LUMPUR, 12 November - Projek Sambungan Lebuhraya Baru Pantai (NPE) 2 bernilai RM1.7 bilion yang membabitkan laluan utama sepanjang 6.4 kilometer (km) atau 15 km keseluruhan termasuk tanjakan dari Plaza Tol Pantai Dalam ke Jalan Istana di sini, dijangka siap dan mula beroperasi pada 2029.

Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, projek berkenaan dijangka menjadi pemangkin utama kepada pertumbuhan ekonomi serta pembangunan infrastruktur di koridor Pantai Dalam–Bangsar–Mahameru, selain mengurangkan kesesakan trafik ke pusat bandar Kuala Lumpur.

1211 NSL NANTA LINGGI NPE 2 2Majlis Pecah Tanah Projek Sambungan Lebuhraya Baru Pantai (NPE 2) / Foto FB Alexander Nanta Linggi

Beliau berkata, projek itu dibiayai sepenuhnya oleh IJM Corporation Berhad (IJM), tanpa beban kewangan kepada kerajaan.

"Projek ini amat diperlukan kerana ia membantu mengurangkan kesesakan trafik di laluan utama seperti Mid Valley dan Bangsar. Apabila siap kelak, pengguna akan menikmati perjalanan yang lebih lancar, selamat dan selesa,” katanya.

Beliau ditemui media selepas menyempurnakan Majlis Pecah Tanah Projek NPE 2 di Plaza Tol Pantai Dalam, di sini hari ini.

1211 NSL NANTA LINGGI NPE 2 3Majlis Pecah Tanah Projek Sambungan Lebuhraya Baru Pantai (NPE 2) / Foto FB Alexander Nanta Linggi

Menurutnya, sambungan baharu itu merupakan sebahagian daripada Kuala Lumpur Traffic Master Plan 2040, yang bertujuan meningkatkan kesalinghubungan antara Lebuhraya NPE, BESRAYA dan Laluan Istana-Kiara (LIKE) yang bakal dibina kelak.

Beliau berkata, setelah siap, NPE 2 dijangka mengalihkan sehingga 40 peratus aliran trafik dari Jalan Bangsar menuju pusat bandar, serta meningkatkan tahap perkhidmatan jalan daripada kategori E/F kepada C/D, dengan penjimatan masa perjalanan sehingga 25 minit bagi pengguna dari Bangsar atau Mid Valley ke Subang Jaya.

1211 NSL NANTA LINGGI NPE 2 5NPE 2 dijangka mengalihkan sehingga 40 peratus aliran trafik dari Jalan Bangsar menuju pusat bandar

Menurutnya, lebuh raya tersebut turut akan dilengkapi kemudahan hentian sebelah lengkap dengan surau, tandas awam dan ruang rehat, bagi memastikan keselesaan pengguna.

Sementara itu, mengulas mengenai isu tol, beliau menjelaskan bahawa kerajaan sebelum ini telah menangguhkan kenaikan kadar tol sehingga tahun ini, manakala keputusan baharu bagi tahun 2025 sedang diperhalusi.

Mengenai perkembangan terkini pelaksanaan sistem kutipan tol Aliran Bebas Pelbagai Lorong (MLFF) pula, beliau memaklumkan setakat ini enam syarikat telah menyatakan minat untuk membida bagi projek berkenaan.

MUHAMMAD APENDY BIN ISSAHAK